Sabtu, 30 November 2013

sinopsis Mengintai Cinta Khalifah



Mengintai Cinta Khalifah

Mengisahkan kisah tiga watak utama yang mempunyai misi kehidupan yang tersendiri iaitu Imran, Laila dan Nanda.

Imran adalah pemuda yang mencari legasi al-Khalifah dengan menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar. Kemudian pulang dengan h...asrat menyedarkan remaja tentang dakyah zionis untuk memesongkan ‘fokus’ umat islam daripada agama sendiri. Zionis cuba membawa misi hiburan ke dalam minda anak muda agar mereka lupa tanggungjawab sebenar sebagai muslim.



Laila adalah watak yang mahukan keseronokan dan kesenangan hidup. Dia mendambakan kebahagiaan menerusi cara hidup tersendiri. Dia tidak menyukai agamawan. Watak Laila akan memperlihatkan percikan-percikan fitnah yang tercetus disebabkan ‘kejahilan’ diri sendiri.

Nanda adalah pengikut gerakan free mason yang bekerja untuk mengkaji dan menyampaikan maklumat berguna kepada gerakan itu. Dengan tujuan gerakan ini akan menggunakan maklumat itu untuk serangan saraf secara global. Namun, Nanda mempunyai seorang datuk yang pernah menyertai gerakan kezaliman pihak free Mason. Datuk Nanda meninggalkan beberapa catatan yang berguna untuk Nanda.

Kisah ini bermula apabila Imran selaku pelajar Maahad Muhammadi yang dibuai arus sosial, dia bercinta dengan seorang gadis bernama Laila. Namun, dia pantas menyedari kesilapan diri sebaik sahaja kedua orang tuanya dijemput oleh ilahi dalam satu kemalangan. Kehilangan ibubapa Imran membuatkan dia insaf yang amat. Terkesan dari pemergian ibubapa, dia mula mengutip kembali amanat dan hasrat ibubapanya untuk melihat dirinya menjadi manusia yang benar-benar patuh pada ajaran agama. Ketika itu seorang sepupu Imran yang juga adalah seorang ustaz tampil(Ustaz Khalil) dan membentuk peribadinya melalui teguran dan nasihat. Atas gesaan sepupunya, dia melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Laila adalah watak kedua yang bermula sebagai kekasih Imran sewaktu mereka belajar di sekolah menengah. Namun, disebabkan sikap Imran berubah dan cenderung menjadi seorang agamawan...pantas sahaja Laila menarik diri dari meneruskan perhubungan. Baginya, dia tidak mahukan teman hidupnya dikalangan orang beragama ataupun ustaz. Dia mahukan seorang jejaka yang punyai kerjaya profesional dan popular. Dari situ, dia menemui izani yang menjadi cinta keduanya. Malang sekali, Laila dan Izani dipaksa berkahwin apabila mereka ditangkap berkhalwat.

Nanda, adalah gadis Belanda yang datang ke Bumi Serambi Mekah atas tujuan mengkaji dan menganalisis budaya Timur di Negeri Kelantan. Kajian itu bertujuan akan diguna pakai dalam bentuk perang saraf demi menyesatkan dan merosakkan kemurnian moral rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Islam di malaysia secara umumnya. Dalam misi itu, Nanda bertemu dengan Imran dan sekaligus mengheret mereka dalam satu perbualan serius berkaitan agama dan orientalis. Akhirnya Nanda memahami kebenaran agama Islam dan mula goyah dalam meneruskan misinya.

Setelah Laila berkahwin dengan Izani, dia mula tertekan dengan sikap suaminya yang enggan bersolat dan amat panas baran. Dia ingin keluar dari kemelut rumahtangga itu. Secara kebetulan dia bertemu dengan Imran dan memohon jasa baiknya. Dalam diam, Laila cuba mengetahui kisah hidup Imran. Sewaktu itu, Imran sudah membuka pintu hatinya untuk mencari suri rumahtangga, Imran mula merisik seorang gadis bernama Salsabila. Salsabila adalah gadis yang belajar di Koleh Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Nanda yang dihurung kekeliruan itu cuba mendapatkan khidmat Imran. Dia cuba berbahas antara fakta, logik dan kebenaran. Ternyata Imran mampu menguraikan kekusutan batinnya. Dari situ, timbul rasa hormat Nanda terhadap agamawan Islam.

Laila akhirnya nekad untuk mendekati Imran. Namun, Imran sudah menumpukan jiwanya kepada Salsabila. Nanda mengejar bayangan Imran tanpa ada jawapan. Dalam dilema itu, Imran membuat keputusan untuk melepaskan Salsabila. Nanda mahu keluar dari dunianya. Laila, menanti sesuatu yang mengujakan.

Tidak ada komentar :

Posting Komentar

silakan bila anda yang pingin komentar, tetapi tolong pakai bahasa yang sopan